Macam tak percaya dah nak sampai ke penghujung tahun. Bermula lah musim-musim membawang di dapur, sampai lah membawang ke ruang tamu.... Eh bukan membawang yang tu lah, ini membawang yang memawa muafakat hehehe. Okay back to the point! Bila dah masuk musim kahwin ni, ramai yang ajak ke majlis pernikahan tentunya dijalankan di masjid.
Tiba-tiba fikiran cik kiah pun mula menimbulkan satu persoalan.
"Bolehkah wanita yang sedang haidh memasuki masjid?"
[Sumber: https://bit.ly/2Z9a808]
Bismillah, Alhamdulillah segala puji bagi Allah tuhan sekalian alam, selawat serta salam buat junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang meninggalkan kita di atas agama yang suci ini, seterusnya buat ahli keluarga baginda, isteri-isteri baginda, serta mereka yang berpegang dengan ajaran baginda hingga hari akhirat.
Dalam isu ini, para ulama terbahagi kepada dua pandangan, iaitu yang mengharamkan wanita haidh memasuki masjid, dan yang mengharuskannya:
Ulama yang Mengharamkan:
Jumhur fuqaha’ mengharamkan wanita haidh masuk ke masjid. (Rujuk Al-Mabsuth 3/153, Hasyiyah al-Dasuqi 1/173, Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab 2/358 dan Al-Mughni 1/195).
Selain itu, terdapat juga dua fatwa daripada institusi fatwa yang menegaskan hal ini:
- Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-49, yang bersidang pada 19 September 2000 telah memutuskan bahawa perempuan yang dalam keadaan haid haram berada atau duduk di dalam masjid walaupun untuk tujuan pembelajaran dan program-program keagamaan.
- Keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor yang diwartakan pada 30 Ogos 2001 telah membuat keputusan bahawa wanita yang sedang haid dan nifas adalah tidak dibenarkan duduk diam di dalam masjid walaupun dengan tujuan pembelajaran semata-mata. Hukum wanita haid dan nifas yang masuk ke dalam masjid adalah dibenarkan untuk sekadar melintasi atau melalui sekali lalu tanpa berulang-alik untuk keluar melalui pintu yang dimasukinya.
Antara dalil yang menjadi sandaran bagi kelompok pertama ini ialah ayat al-Qur’an al-karim:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَقْرَبُوا الصَّلَاةَ وَأَنتُمْ سُكَارَىٰ حَتَّىٰ تَعْلَمُوا مَا تَقُولُونَ وَلَا جُنُبًا إِلَّا عَابِرِي سَبِيلٍ حَتَّىٰ تَغْتَسِلُوا ۚ
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan. Dan janganlah pula (hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan junub (berhadas besar) - kecuali kamu hendak melintas sahaja - hingga kamu mandi bersuci.
Surah al-Nisaa’ (43).
Berdasarkan ayat ini, Imam al-Syafi’e menyatakan bahawa seorang yang dalam keadaan junub tidak boleh duduk dalam masjid, dan hanya boleh melaluinya sahaja. (Rujuk Ahkam al-Qur’an oleh Al-Jassas, 3/168)
Begitu juga hadith daripada Ummu ‘Athiyyah, dimana dia berkata:
أَمَرَنَا - تَعْنِي النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم - أَنْ نُخْرِجَ فِي الْعِيدَيْنِ الْعَوَاتِقَ وَذَوَاتِ الْخُدُورِ وَأَمَرَ الْحُيَّضَ أَنْ يَعْتَزِلْنَ مُصَلَّى الْمُسْلِمِينَ
Maksudnya: Nabi SAW menyuruh kami para wanita bujang dan yang memakai purdah agar keluar pada dua hari raya, dan Baginda menyuruh wanita-wanita yang haidh untuk menjauhi tempat solat kaum Muslimin.
Sahih al-Bukhari (974), Sahih Muslim (890) dan Sunan Tirmizi (539)
Adapun jika sekadar untuk lalu, mengambil suatu barang kemudian terus keluar dengan segera, maka hukumnya harus. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah R.Anha:
قَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم " نَاوِلِينِي الْخُمْرَةَ مِنَ الْمَسْجِدِ " . قَالَتْ فَقُلْتُ إِنِّي حَائِضٌ . فَقَالَ " إِنَّ حَيْضَتَكِ لَيْسَتْ فِي يَدِكِ "
Maksudnya: Nabi SAW berkata kepadaku: Ambilkan aku tikar dari masjid. Aku menjawab bahawa aku sedang dalam haidh. Maka Nabi SAW membalas: Haidh kamu bukan terletak pada tangan kamu.
Sahih Muslim (298), Sunan Nasa’ie (272), Sunan Abi Daud (261), Sunan Tirmizi (134) dan Sunan Ibn Majah (632)
Hadith ini jelas menunjukkan bahawa ‘Aisyah sedar bahawa wanita haidh tidak boleh masuk ke dalam masjid, dan Nabi SAW juga mengiyakannya dan menyatakan bahawa sekadar menghulurkan tangan ke dalam masjid tidak dikira masuk ke dalam masjid.
Begitu juga dengan hadith Nabi SAW yang lain:
إِنَّ الْمَسْجِدَ لاَ يَحِلُّ لِجُنُبٍ وَلاَ لِحَائِضٍ
Sunan Abi Daud (232) dan Sunan Ibn Majah (645)
Meskipun hadith ini tidak terlepas daripada kritikan oleh para ulama, namun Imam al-Syaukani telah membahaskan secara panjang lebar dan menegaskan bahawa hadith ini menjadi kuat kerana disokong oleh banyak faktor penguat (syawahid). (Rujuk Nail al-Authar, 1/288)
Ulama yang Mengharuskan
Terdapat sebahagian ulama yang mengharuskan wanita haidh masuk ke masjid, antaranya ialah Imam al-Muzani (anak murid Imam al-Syafie), salah satu pandangan Imam Ahmad, Daud al-Zahiri dan Ibn Hazm al-Andalusi. (Rujuk Tafsir al-Bughawi 1/628, Al-Insaf 1/347 dan Al-Muhalla 1/401-402)
Antara dalil yang menjadi sandaran mereka ialah hadith Nabi SAW:
لَمَّا جِئْنَا سَرِفَ حِضْتُ فَقَالَ اَلنَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم اِفْعَلِي مَا يَفْعَلُ اَلْحَاجُّ غَيْرَ أَنْ لَا تَطُوفِي بِالْبَيْتِ حَتَّى تَطْهُرِي
Maksud: Lakukanlah apa yang diperbuat oleh seorang yang berhaji kecuali jangan engkau Thawaf di Ka’bah.
Sahih Bukhari (1650)
Selain itu, mereka juga berdalilkan hadith Nabi SAW:
إِنَّ الْمُسْلِمَ لاَ يَنْجُسُ
Maksudnya: Sesungguhnya seorang Muslim itu bukanlah najis.
Sahih Muslim (372)
Kefahaman umum dari hadith ini menunjukkan bahawa seorang Muslim itu adalah suci dan tidak najis walau dalam apa jua keadaan, maka wanita yang haidh boleh masuk ke masjid.
Menurut Ibn Hazm lagi, penafsiran bagi surah al-Nisaa’ ayat 43 di atas perlu difahami dalam erti kata wanita haidh tidak boleh solat, dan bukannya tidak boleh mendekati tempat solat. (Rujuk Al-Muhalla 1/347 dan 400)
Secara tuntasnya, kami berpandangan, pandangan yang mengharamkan wanita duduk di dalam masjid atau surau adalah lebih selamat, tepat dan rajih. Hal ini kerana jika dibenarkan mereka memasuki masjid secara bebas, dibimbangi akan mengotorkan ruangan solat. Begitu juga kerana nas yang mengharamkan duduk di dalam masjid adalah lebih kuat dan lebih banyak, selain keperluan untuk melihat isu ini dari sudu hukum ta’abbudi.
Kami cadangkan dengan perkembangan moden zaman sekarang ini dan berdasarkan kemampuan kewangan agar dikhaskan satu dewan berhampiran masjid atau surau sebagai markaz ilmu kepada wanita dalam keadaan haid untuk sama-sama menuntut ilmu walaupun tidak berada dalam masjid. ini akan memberi banyak kebaikan kepada wanita yang dalam keadaan haid ini.
Wallahu a’lam.
Comments
Post a Comment